Saturday, November 8, 2008

Politik wang parasit dalam Umno

POLITIK wang dalam Umno saling tidak tumpah seperti urus niaga di Bursa Saham yang sesetengahnya berani membuat pelaburan besar kerana mengharapkan pulangan lumayan. Sepatutnya pengamal budaya politik wang yang terdiri daripada pelabur, ejen, pembeli dan pembuat spekulasi seharusnya diambil tindakan tegas serta disenarai hitamkan dan sentiasa diawasi Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Perbuatan politik wang sepatutnya dikategorikan rasuah yang jelas dan terang. Jika dulu sekiranya didapati ada yang didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang, tindakan yang diambil hanyalah digantung daripada parti untuk tempoh beberapa penggal, hilang hak untuk bertanding dan sekiranya menang, kemenangan dibatalkan. Hukuman ini amat ringan. Sepatutnya hukuman lebih berat dikenakan seperti dibicarakan di mahkamah, dikompaun dan dibuang kerja.

Selain itu, kerajaan juga boleh mengikut jejak Indonesia membina penjara khas bagi menyumbat pesalah rasuah untuk banduan yang terdiri daripada pegawai atasan kerajaan, pegawai bank, ahli politik dan perniagaan yang terbabit kerana rasuah dengan tempoh yang agak lama sebagai pengajaran di samping mewajibkan mereka membuat kerja kebajikan untuk tempoh beberapa tahun.

Mahu tidak mahu, Malaysia memerlukan pemimpin yang berwibawa dan berkualiti serta tidak mempunyai kecacatan di dalam kehidupan bagi memastikan negara tidak terus rosak dan membawa kesengsaraan kepada rakyat.

Perumpamaan sinis yang mengatakan Umno adalah lombong emas, yang semua orang berebut untuk melombong demi mengaut kekayaan, keuntungan dan kepentingan peribadi haruslah diubah.

Masalah politik wang tidak mungkin dapat dibendung sepenuhnya jika punca permasalahan itu tidak dikikis. Namun tidak dinafikan bahawa cara paling berkesan untuk membendung gejala politik wang ialah kejujuran dan keikhlasan ahli-ahli Umno sendiri.

Saya berharap semua ahli politik membuang amalan politik wang dari sekarang kerana ia amat bahaya sehingga menyebabkan bangsa dan kampung tergadai dan sekiranya tidak diawasi dengan betul, Umno juga boleh terkubur. Oleh yang sedemikian kembalilah ke pangkal jalan

Selain itu, istilah 'politik wang' harus ditukar kepada 'rasuah wang'. Sekiranya istilah yang digunakan adalah 'politik wang' tertuduh hanya dapat dikenakan hukuman mengikut perlembagaan parti politik saja tanpa mereka dihukum menerusi sistem penghakiman negara.

Lembaga Disiplin Umno perlulah tegas dan produktif serta tidak memilih bulu untuk menghukum ahlinya yang didapati bersalah di dalam mengatasi masalah politik wang dan mencari jalan agar mereka takut. Undang-undang antirasuah yang ada dalam negara dan tindakan disiplin antipolitik wang yang diperkenalkan Umno pun tidak ditakuti oleh ahlinya. Ini adalah cabaran paling kuat dan nyata yang harus ditangani oleh Lembaga Disiplin Umno bagi menarik minat generasi muda mempercayai parti.

Marilah sama-sama kita renungkan. Apakah masa depan Umno jika politik wang tidak dibanteras. Sudah pasti akan menghasilkan produk yang rasuah dalam parti dan kerajaan yang dibentuk kerana kedua-dua berkaitan.

Selain itu, slogan cegah sebelum parah amat sesuai diterapkan di dalam kepemimpinan Umno. Maka, adalah perlu bagi kepemimpinan tertinggi Umno menilai segera sistem pemilihan MT Umno sedia ada. Sudah tiba masanya 3.2 juta ahli Umno diberi hak mereka untuk menentukan barisan pemimpin mereka bukan saja 2,500 perwakilan yang berada di bangunan PWTC.

Hakikatnya, perwakilan Umno hanya mewakili 0.07 peratus suara ahli Umno, satu peratusan yang sangat kecil. Realitinya, proses pertama di dalam memilih calon Majlis Tertinggi Umno yang dijalankan pada peringkat cawangan dan bahagian Umno adalah lebih demokratik kerana ia adalah aspirasi tulen serta suara ahli Umno dari akar umbi.

Proses kedua di mana pemilihannya yang diadakan sekali lagi di PWTC perlu dikaji semula atau dimansuhkan. Jika pun proses kedua pemilihan tetap mahu diteruskan, perwakilan perlu berjumpa dengan ahli Umno di bahagian masing-masing dulu sebelum ke Kuala Lumpur. Pastinya kaedah ini lebih demokratik dan seimbang. Demi maruah dan masa depan Umno, kaedah ini perlu diambil kira walaupun ia memerlukan penyelenggaraan dan perbelanjaan yang tinggi.

Harus diingat pemimpin yang naik secara rasuah sudah pasti akan melaksanakan rasuah apabila menjadi pemimpin seperti kata pepatah; 'apabila anjing makan najis, walaupun tak makan, hidu pun jadi.

ADMIN//:TEPUK DADA TANYA DIRI ANDA KE MANA HALA TUJU KITA !!!!

No comments: